KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dilihat sebagai lambang kepada kekuatan dan keberanian yang sentiasa wujud dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata semangat Tahun Harimau itu jelas dilihat tatkala negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

"Kesemua ini dapat didepani dan diharungi dengan tabah sekali.

"Semangat berjuang, kebersamaan dan penyatuan dalam Keluarga Malaysia mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan kesepakatan yang telah sekian lama terbentuk dan wujud di antara kita.

"Sama-sama kita hayati dan pelihara kekayaan dan kepelbagaian budaya serta adat resam berbilang kaum dan agama serta titik pengukuhan sikap hormat-menghormati sesama sendiri," katanya menerusi kenyataan media sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022.

Beliau pada masa sama mengajak Keluarga Malaysia yang meraikan Tahun Baru Cina untuk tidak lalai dalam mematuhi prosedur oeprasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Halimah turut berharap Tahun Harimau ini akan membawa kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan buat semua Keluarga Malaysia dalam menempuh kehidupan yang mendatang.